Saturday, March 20, 2010

Raja Memerintah

Sultan atau raja yang memerintah ialah pemimpin yang mampu memberikan arahan tegas tanpa terikat pada undang-undang kepada setiap pegawai kerajaan atau rakyat di bawah jajahan takluknya. Ini kerana sultan yang sepatutnya mencipta dan menentukan undang-undang mengikut perkiraan sendiri di atas nasihat memanda pembesarnya, itu pun jika nasihat diikuti. Pada zaman dahulu sultan mempunyai kuasa yang cukup besar sehingga sesiapa yang derhaka boleh terkena sumpahan dan hukuman yang maha dahsyat. Santau, bunuh, sula, rejam, potong tangan dan kaki, potong kepala, dijadikan makanan binatang buas, dilemaskan dalam air, dikorek biji mata dan di segala-gala yang amat kejam kepada rakyat yang derhaka.

Siapa tidak kenal moyang sultan Johor, Almarhum Sultan Mahmud telah mengarahkan hulubalang and the gang membunuh Wan Anum kerana makan seulas buah nangka yang sepatutnya menjadi santapan baginda tetapi disebabkan penyakit ibu-ibu yang mengandung iaitu mengidam telah mencalar kehormatannya. Ini adalah contoh sultan memerintah yang sebetulnya. jangan mecabar kuasa sultan jika tidak buruk padahnya dan akhirnya baginda terpaksa mengakhiri kehidupan dengan kematian berdarah dan menjadi sebutan rakyat sebagai Sultan Mahmud mangkat dijulang.

Bagaimana pula dengan Almarhum Sultan Iskandar, baginda memang seorang yang tegas, manakan tidak kerana teguran seorang pegawai agama, pelempang yang menjadi santapan pegawai tersebut. Adakah baginda seorang yang kejam ? Tidak benar. Baginda cuma seorang yang tegas dan ketegasannya tidak mengira baik atau buruk dan jangan sesekali mencalar kehormatannya. Cuma ketegasannya masih ada tolak ansur dan disebabkan itulah pembesar-pembesar Johor bersama dengan cerita yang ditokok tambah mempengaruhi baginda dalam setiap tindakan yang diambil. Akhirnya baginda mengakhiri hidup dengan kutukan dan sindiran daripada rakyat dari jajahan takluk Sultan yang berjiran tetapi mewakili rakyat Johor Darul Takzim kononnya. Ini dipanggil tegas tak bertempat.

Di Kelantan, Cik Siti Wan Kembang telah membanggakan ramai perempuan di Kelantan dan seluruh tanah air kerana kecekapan dan kebijaksanaan dalam pentadbiran dan jika Wan Anum adalah rakyat Kelantan, sudah tentu ia akan dapat makan buah nangka bersama-sama dengan Cik Siti tanpa perlu mengorbankan nyawanya. Sikap yang mengambil berat permasalahan rakyat dan turun padang mendekati rakyat ternyata Cik Siti dapat mengakhiri kehidupan dengan aman dan mendapat pujian rakyat.

Bagaimana pula dengan sultan Kelantan yang belum lagi almarhum iaitu Sultan Ismail. Baginda adalah sultan yang baik hati, kerana apa sahaja yang diinginkan oleh kerabat-kerabatnya dipersetujui dengan senyuman dan disebabkan baik hati inilah rakyat mula bercakap-cakap sultan Kelantan adalah sultan yang takut pada bini ? dan meluluskan segala-galanya. Bermacam-macam projek pembangunan telah muncul sejak akhir-akhir ini walaupun pembesar negeri Kelantan bukannya mempunyai duit yang banyak untuk buat projek seperti rakyat yang bernama SBJ mata sepet dan akhirnya baginda belum lagi mangkat sudah ada komplot sebahagian rakyat untuk menyingkirkan baginda daripada takhta.

Manakala di Kedah pula, sikap berbelah bagi Sultan Mohamad Jiwa antara keselamatan rakyat dan kekuasaan baginda menyebabkan tanah jajahan takluknya Pulau Mutiara menjadi milik penakluk yang lain dan kuasanya berkurangan. Baginda adalah sultan berjiwa rakyat sesuai dengan namanya dan akibat jiwanya kepada keselamatan rakyat akhirnya baginda mengakhiri hidup dengan rakyat Kedah juga berbelah bagi samada ingin mengelarnya sultan yang penakut kepada Inggeris atau sultan yang melindungi keselamatan rakyat.

Bagaimana pula dengan Sultan Abdul Halim, juga sultan berjiwa rakyat yang memerintah negeri Kedah Darul Aman dengan aman sekali dan merupakan sultan yang memerintah paling lama berbanding dengan sultan-sultan Malaysia yang lain. Jika umurnya panjang, mungkin baginda akan menduduki takhta kesultanan tertinggi di Malaysia iaitu Yang Dipertua Agong sekali lagi. Akan tetapi sejak mutakhir ini terdapat sebahagian rakyat Kedah yang gagal menjadi pembesar cuba menpengaruhi baginda supaya menentang pembesar yang menang pilihanraya. Nasib baiklah pembesar yang mentadbir sekarang juga sejiwa dengan baginda dan direstui pembesarannya sebagai pembesar. Diharap baginda mengakhiri hidup dengan penuh kebanggaan rakyat.

Itu adalah sebahagian contoh sultan yang memerintah dan sultan yang memerintah dengan perintah ( kononnya raja berpelembagaan) dan kebijaksanaan serta keberanian sahaja yang mampu mengubah pandangan rakyat . Kita patut sedar adakah sultan yang memayungi kita merupakan sultan yang memerintah atau sultan yang memerintah dengan perintah. Peranan utama rakyat carilah pembesar yang mampu memberi perkiraan yang betul kepada sultan agar dapat memerintah dengan baik bukannya mencari pembesar yang menghalang pemerintahan sultan dengan alasan raja berpelembagaan. Sejarah sudah membuktikan seseorang sultan tidak boleh terlalu berlembut kerana kesannya apa yang terjadi kepada Sultan Abdul Halim tetapi baginda bernasib baik kerana mempunyai pembesar yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan . Juga tidak boleh terlalu tegas kerana kesannya apa yang terjadi kepada Almarhum sultan Iskandar. Sultan juga tidak boleh sentiasa memayungi rakyat membuta tuli kerana kesannya adalah seperti Sultan Ismail. Dalam pada itu juga tidak boleh tidak memayungi rakyat kerana kesannya seperti Sultan Mahmud. Contoh yang baik jadilah seperti Cik Siti Wan Kembang kerana memiliki pembesar yang jujur dan sentiasa membantu Cik Siti memerintah dan melembutkan hati Cik Siti untuk bersama rakyat. Akan tetapi buatlah pertimbangan seperti Sultan Mohamad Jiwa, walaupun niat yang baik demi rakyat, akhirnya kehilangan jajahan takluk dan itu lebih baik daripada kehilangan semuanya.

Masalah sekarang rakyat melihat sultan sibuk menjaga takhta masing-masing kerana tidak mahu ditentang oleh pembesar yang mentadbir dan mempercayai bulat-bulat peranan raja berpelembagaan. Kenapa sultan perlu takut dengan pembesar. Tunjukkan kuasa sebagai pemerintah yang memerintah bukannya sultan yang memerintah dengan perintah pembesar. Jadilah sultan yang memerintah dan pembesar menjadi pentadbir kerana itulah yang sebenarnya.

Mungkin sudah agak lama berada dalam perintah pembesar, akhirnya muncul sultan yang mampu membuat keputusan menongkah arus berbanding sultan sebelumnya di beberapa negeri. Diharap nama-nama seperti Tengku Ibrahim Johor, Tengku Idris Selangor, Tengku Muhammad Faris Kelantan, Raja Nazrin Perak, Tengku Abdullah Pahang jadilah raja yang memerintah bukannya raja yang memerintah dengan perintah dan menjadi contoh kepada perubahan sistem beraja di Malaysia. Dengan sejarah yang berlaku, jadikan sebagai rujukan untuk menjadi pemerintah yang adil dan saksama.

Penulis lebih suka mengelar sultan adalah pemerintah dan pembesar adalah pentadbir. Bagi penulis sultan yang akan memerintah pentadbir dan bukannya pentadbir yang memerintah sultan. Tidak kira pembesar mana-mana parti selagi corak pentadbiran yang salah haruslah sultan memerintahkan supaya diperbetulkan pentadbiran itu. Kesultanan di Malaysia sudah tidak layak dipanggil sebagai sultan melayu, kerana yang sebetulnya adalah sultan rakyat Malaysia, ini kerana semua bangsa adalah di bawah jajahan takluk sultan tidak kira melayu, cina atau India selagi berstatus rakyat Malaysia.

Jika pertanyaan di kalangan rakyat adakah Malaysia memerlukan sultan ? Mungkin pelbagai jawapan mengiyakan dan menidakkan akan timbul. Di sinilah peranan sultan agar rakyat terus menyakini pemerintahan sultan adalah diperlukan kecuali sultan sendiri yang tidak mahu menjadi sultan maka biarkan pembesar terus memerintah sultan. Penulis sentiasa mendokong kesultanan di Malaysia selagi tidak menentang perintah Allah SWT. Jika sultan sesat maka sesatlah rakyat, jika sultan buta maka butalah rakyat, jika sultan bangga maka banggalah rakyat, jika sultan kaya maka kayalah rakyat , jika sultan melempang rakyat maka makan pelempanglah rakyat, jika sultan adalah sultan maka rakyat adalah rakyat. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh sultan yang telah pulang ke rahmatulah dan memberikan kesihatan yang baik kepada sultan yang masih lagi gering.

0 comments:

Post a Comment

Ini Pasal Dia © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute