Sunday, March 21, 2010

Peranan Ulama Dan Alkohol.


Ulama dunia sudah mengeluarkan fatwa minuman tanpa alkohol dan minuman beralkohol 0.5% ke bawah dan tidak memabukkan adalah halal maka kita sebagai umat Islam yang jahil kena ikut dan patuh kepada fatwa yang telah ditetapkan oleh ulama-ulama apabila mereka bersusah payah mengadakan majlis ijma bagi menghapuskan keraguan yang timbul dan mereka jugalah yang lebih mengetahui berbanding kita.

Setiap fatwa yang dibentangkan janganlah diambil ulasan pertama, pertengahan, pengakhiran atau pokok sahaja, sebaliknya ambil keseluruhan isi yang menerangkan kenapa ianya halal atau kenapa ianya haram. Paling mudah kita perlu melihat kepada unsur kemudharatan dan lagha (perbuatan sia-sia yang tidak mendatangkan faedah baik) dalam diri kita barulah mengambil pendekatan ijtihad untuk menerima fatwa yang dikeluarkan.

Contohnya menghisap rokok, adakah ia mendatangkan mudharat kepada kita jika kita menghisap dengan bilangan satu sedutan, mungkin tidak merbahaya tetapi bagaimana pula dengan lagha, tidakah banyak lagi aktiviti yang berfaedah selain daripada menghisap rokok boleh kita lakukan. Jika menghisap rokok melebihi sekotak sehari sudah tentu ia akan membawa kemudharatan kepada kesihatan kita dan sememangnya menyebabkan kita lagha dalam waktu yang banyak. Maka disebabkan itulah ulama berbeza pendapat, ada mengatakan merokok adalah haram dan ada juga mengatakan halal.

Kenapa berlaku perbezaan, ini kerana ada ulama melihat merokok satu sedutan tidaklah mendatangkan mudharat yang besar kepada manusia maka tidak boleh dikatakan haram, akan tetapi ada ulama melihat merokok satu sedutan akan menjadi punca kepada merokok melebihi sebatang bahkan mungkin ketagih sekotak sehari dan hukumnya adalah haram kerana telah membawa kepada mudharat yang besar.

Susah sangatkah untuk ulama sepakat mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh menjadi punca kepada kemudharatan dan lagha. Ada pula mempersoalkan pandangan penulis apabila mengatakan dadah juga haram tetapi kenapa penulis menggunakannya jika berdasarkan ubat batuk dan panadol juga boleh membawa kemudharatan jika mengambil berlebihan, misalnya penulis apabila batuk atau demam akan mengambil sirap batuk dan panadol untuk melawan kuman yang membawa kepada keuzuran. Ingin penulis jelaskan pengambilan ubat secara sukatan yang betul tidaklah membawa kemudharatan dan tidak membawa kepada lagha tetapi merokok jika dengan satu sedutan juga tidak membawa kemudharatan besar akan tetapi ia dianggap membawa kepada lagha, jadi janganlah menghampirinya kerana tiada faedah yang baik. Ubat-ubatan tidaklah haram jika mengambil sukatan yang betul, sebaliknya jika diambil secara berlebihan sehingga membawa kepada kemudharatan tubuh badan seperti khayal, mabuk, pitam atau meracau dan menyebabkan kita lagha maka perbuatan itu adalah haram. Sebab itulah ada sesetengah ulama mengeluarkan fatwa mengambil dadah sehingga membawa kemudharatan kepada badan dan akal manusia adalah haram.

Berbalik kepada soal minuman tanpa alkohol ataupun beralkohol di bawah 0.5%, kita sebenarnya telah dipesongkan dengan perkataan alkohol oleh musuh-musuh Islam daripada membincangankan dua unsur yang penting iaitu mudharat dan lagha. Alkohol bukanlah punca sebenar kepada masalah ini dan seterusnya menyebabkan ulama Islam berbeza pendapat samada alkohol halal atau haram. Maka timbulah banyak keraguan dan fatwa terhadap perkara-perkara yang dikaitkan penggunaan alkohol.

Ayat 67, Surah Al Nahl.

Firman Allah bermaksud: “Dan daripada buah tamar dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezeki yang baik, sesungguhnya pada yang demikian itu ada satu tanda bagi orang yang mahu menggunakan akalnya.”

Ayat ini diturunkan ketika di Makkah di mana di dalam ayat itu Allah belum lagi menjelaskan pengharaman arak dan masih boleh diminum ketika itu.

Ayat 219, Surah Al Baqarah
.
Firman Allah bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah pada kedua-duanya ada dosa yang amat besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya..."

Ayat kedua ini menjelaskan perbezaan di antara baik dan buruk arak. Ia juga menjelaskan bahawa dosa arak adalah lebih besar daripada manfaatnya.

Ayat 43, Surah An Nisa

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu bersembahyang sedang kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan..."

Ayat ketiga ini pula melarang umat Islam ketika itu meminum arak tatkala hampir waktu untuk bersolat. Perkara ini berlaku kerana imam sembahyang ketika itu dikatakan telah tersalah membaca ayat al-Quran kerana berada dalam keadaan mabuk. Maka turunlah ayat ketiga di atas.

Ayat 90, Surah Al Maidah

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."

Ayat keempat ini mengharamkan arak secara sekali gus. Jumhur fuqaha mengharamkan arak disebabkan ia adalah najis dan memabukkan.
Ayat ini adalah dalil yang putus mengenai pengharaman meminum arak.

Perkara yang harus dilihat adakah terdapat perkataan alkohol dalam ayat-ayat di atas, kita tidak boleh menyamakan alkohol seperti lemak babi yang digunakan dalam bahan makanan, ini kerana apa sahaja yang berkaitan dengan babi adalah haram. Sememangnya dalam Al-Quran sudah jelas menyatakan babi adalah haram. Ramai daripada kita mengambil hujah seperti lemak babi, kalau makan daging babi ianya haram dan kalau makan makanan yang menggunakan lemak babi ianya juga haram. Begitu juga kalau minum minuman beralkohol ianya haram dan kalau menggunakan atau memakan makanan yang menggunakan alkohol ianya haram. Disebabkan terlalu pandailah kita menyalahkan alkohol punca segala permasalahan. Seperti yang diketahui alkohol adalah bahan penstabil yang digunakan di dalam pelbagai bahan seperti minuman, makanan, pewangi, peluntur dan lain-lain.

0.5% alkohol seumpama satu sedutan rokok yang mana tidak membawa kemudharatan besar kepada manusia. Sebab itulah Sheikh Yusuf Al-Qaradawi berijtihad menyatakan ianya tidak haram. Akan tetapi jika lebih daripada 0.5% dan membawa kepada mabuk yakni memudharatkan badan serta akal manusia ianya adalah haram. Tetapi harus diingat dalam dunia ini ada manusia walaupun meminum arak yang mengandungi sehingga 40% alkohol masih lagi berkeadaan normal dan tidak mabuk.

Patuhkah kita mengharamkan bahan-bahan yang dicampur di dalam tembakau kerana penyebab kepada penghasilan rokok dan patutkah kita mengharamkan alkohol yang berada dalam jus buah-buahan kerana penyebab penghasilan arak. Kita tidak boleh menyalahkan bahan-bahan di dalam rokok ataupun arak. Yang patut dipersalahkan adalah rokok ataupun arak itu sendiri kerana setiap benda yang membawa kepada salah satu iaitu mudharat ataupun lagha sepatutnya dihentikan pengambilan. Arak adalah haram tidak kiralah ada alkohol ataupun tidak kerana ia tetap membawa kepada lagha. Apa itu lagha di dalam Arak ?

Perbuatan sia-sia adalah apabila kita berlagak seolah-olah sedang meminum arak walaupun tidak mabuk, perbuatan sia-sia apabila kita cuba meniru orang kafir dan sesat dengan minum seperti mereka walaupun tidak mabuk, perbuatan sia-sia adalah membiarkan botol minuman buah-buahan tanpa alkohol menyerupai botol arak yang memabukkan, perbuatan sia-sia ialah kenapa perlu meminum minuman menyerupai arak sedangkan banyak lagi minuman lain yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita. Perbuatan sia-sia apabila kita mengatakan alkohol adalah haram bukannya arak itu yang haram dan perbuatan sia-sia ialah menjadikan minuman tanpa alkohol ataupun sedikit alkohol itu sebagai sebahagian daripada kita dan harus mencuba walaupun setitik.

Walaupun arak sedikit alkohol itu tidak membawa mudharat, ianya tetap membawa kepada lagha dan memudahkan musuh Islam mendekatkan orang Islam kepada perkara mabuk dan melalaikan sedikit demi sedikit. Jika 0.5% alkohol di dalam arak tidak memabukkan dan umat Islam telah lali dengannya maka ditambahkan kepada 1.0% alkohol seterusnya sikit demi sedikit akan menjadi kepada 40% alkohol dan mungkin akan bertambah kerana akan ada manusia masih lagi tidak mabuk. Sehubungan itu umat Islam haruslah menjauhi arak bukannya menjauhi alkohol. Alkohol banyak memberikan manfaat kepada dunia sains dalam menghasilkan pelbagai produk yang berguna kepada manusia selagi ia tidak membawa kemudharatan dan lagha.

Penulis hanya ingin berkongsi pandangan dengan pengunjung blog ‘Ini Pasal Dia’ berkenaan alkohol bukannya mengeluarkan fatwa kerana penulis amatlah jahil berbanding ulama-ulama Islam. Terpulang kepada pengunjung untuk memahami ataupun menyebarkan kepada pembaca blog-blog peribadi yang lain dan bagi penulis hanya satu masalah besar yang sepatutnya dibincangkan oleh ulama-ulama dunia iaitu :-



Masalah yang paling besar bagi umat Islam masa kini sebenarnya kenapa tidak dihimpunkan ulama-ulama dunia untuk sama-sama ber ijma dalam mencari keputusan yang satu. Sebaliknya kita melihat ulama Mesir berbeza fatwa, ulama negara Arab berbeza fatwa, ulama Malaysia lagilah berbeza fatwa ( setiap negeri sesuka hati keluarkan fatwa ). Jika dulu empat mazhab mempunyai perbezaan fatwa disebabkan faktor geografi, pandangan sahabat-sahabat nabi terdahulu dan sebagainya, sekarang ulama Malaysia berbeza pendapat disebabkan kepentingan dunia, kepentingan politik dan kepentingan peribadi. Inilah yang menjadi punca kepada menambah kekusutan dan kekeliruan rakyat Malaysia.

Bersatulah kita mempertahankan Agama Islam sehingga tibanya hari kiamat kelak.

0 comments:

Post a Comment

Ini Pasal Dia © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute