Wednesday, March 17, 2010

Aku dan burger.

Pada 8 Mac 1999 bersamaan hari Isnin jam 8.30 malam di sebuah bus stop, Aku telah terpandang seorang lelaki yang aku agak dalam lingkungan 70 an telah duduk termenung di samping basikal tua miliknya. Aku tidak tahu apa yang sedang dimenungkannya, mungkin ia sedang menunggu anaknya. Itulah yang bermain di benak fikiran aku. Sebenarnya aku ke bus stop adalah kerana ingin membeli burger daging yang sentiasa menjadi menu kegemaran aku sejak dari kecil lagi dan yang pasti dua biji burger adalah kewajipan aku setiap kali ingin melantaknya Tanpa mempedulikan lelaki itu aku terus ke warung burger milik abang Yie. Abang Yie memang seorang peniaga burger yang sejati, kerana setiap hari kecuali malam jumaat ia pasti akan muncul seawal jam 6.30 petang untuk memulakan perniagaannya dan akan menutup kedainya tepat jam 1.00 pagi.

Aku banyak berbual dengan Abang Yie berkenaan dengan kehidupan manusia untuk terus hidup dengan menjadikan dirinya sebagai contoh kepada aku yang masih muda. Apa yang masih aku ingat pesanannya ialah ia akan dapat hidup jika terus berniaga burger akan tetapi aku akan cepat mati jika berterusan membeli burgernya. Mungkin kena sakit jantung pada usia muda jika terlalu banyak makan burger yang penuh dengan kolestrol agaknya. Mungkin juga dia tak mahu aku membeli burgernya lagi agar aku dapat hidup dan akhirnya dia pulak yang akan mati. Apa yang pasti aku masih hidup dan dia juga masih lagi hidup dan tetap berniaga di lokasi yang sama Cuma sudut yang berbeza. Aku terus membayar kepada Abang Yie sebanyak RM 2.00 untuk 2 bijik burger daging (Sekarang dua bijik dah lima hinggit) dan dengan penuh berselera aku cuba untuk pulang secepat mungkin kerana tidak mahu burger menjadi sejuk. Sebenarnya sambil berjalan pun aku boleh makan burger dan sememangnya itulah yang aku lakukan setiap kali membeli burger.

Tiba-tiba belum sempat aku mengambil burger di dalam plastik untuk di telan sepuas-puasnya, aku melihat lelaki tadi masih lagi berada di bus stop dan yang mengejutkan aku apabila melihat ia sedang menangis tanpa lagu (menangis tak berbunyi lah tu) sambil ia cuba mengesat mata dengan tangan yang sudah agak uzur bagiku. Aku terus menghampirinya dengan penuh debaran sambil mengeluarkan tisu yang terdapat di dalam plastik burger (kalau beli burger mesti dapat tisu, kalau tak percaya belilah burger) dan menghulurkan padanya sambil bertanya pakcik ok ke tidak. (Pompuan pun aku bagi tisu gak kalau dia menangis. Aku boleh dikategorikan sebagai romantik jugak kan). Sambil mengambil tisu di tangan aku, lelaki itu asyik memandang kiri kanan dan akhir sekali burger aku dalam plastik yang dipandangnya. Dengan sepantas kilat aku terus menyembunyikan burger itu kat belakang paha aku. (Aku memang kedekut kalau bab berkongsi burger nih, kalau benda lain aku tak kisah). Mungkin kerana ia perasan dengan tindakan aku, ia terus memandang ke arah lain dan cuba membetulkan handle basikalnya. (Taktik lah tu nak elak malu katakan).

Dengan penuh kesopanan dan kesusilaan, aku duduk di sebelahnya dan bertanya apa yang dibuatnya kat sini melepak sorang-sorang, tak elok orang tua melepak kas bus stop sebab itu kerja orang muda macam aku. Ayat dia lebih kurang macam ni lah.

“Apa yang Pakcik buat kat sini, tengah tunggu anak ke ?”

“Pakcik Cuma ambil angin jer. Sebab mata tak mengantuk lagi.”

Aku terus memandang jam tangan aku yang berada di angka 9. Memanglah mata tak mengantuk masih awal lagi. Ni mesti ada something yang ia nak sembunyikan daripada aku. Walaupun aku bukanlah busy body, tapi mulut ini nak jugak bertanya.

“Tadi saya tengok Pakcik macam menangis jer, Kenapa ?” Aku bertanya dengan gaya suara macho.

“Eh ! Tak adalah nak, mata Pakcik masuk habuk jer.”

Apa ingat aku ni bodoh ke, tak tahu bezakan mata masuk habuk dengan mata yang sedang menangis. Nak kelentong pun tengok oranglah. Aku masih belum berpuas hati dengan jawapan ia tadi dan aku diam seketika untuk mencari idea macam mana nak korek rahsia Pakcik ini. Akhirnya aku terpaksa mengorbankan burger kesayangan semata-mata untuk mencari jawapan. Walaupun berat rasa hati, aku tetap pasrah dan menyedekahkan burger sebagai umpan.

“Pakcik nak makan burger tak ? Saya ada belikan satu untuk Pakcik. Marilah kita makan sama-sama.” Pelawaan aku penuh dengan hipokrit.

“Tak apalah nak. Pakcik tak lapar pun.”

“Janganlah macam itu Pakcik, kesian saya makan sorang-sorang”

“Anak makanlah, betul pakcik dah kenyang ini.”

“Kalau macam itu, saya terpaksa buanglah. Sebab saya tak larat makan dua bijik burger yang sedap ini.” Beritahu aku dengan lagi penuh hipokrit. Jangan haraplah aku nak buang burger sewenang-wenangnya. Langkah mayat aku dahulu lah.

“Macam inilah bagi Pakcik makan ajelah, tak elok membazir.” Sambil ia menghulurkan tangannya kepada aku.

Aku dan Pakcik makan dengan penuh selera, sambil itu aku cuba bercerita tentang aktiviti di sekolah dan juga kisah keluarga aku kepadanya. (Teknik untuk menggorek rahsia, kenalah umpan cerita kita dahulu. Tapi kalau nak menggorek hidung secara rahsia buatlah pada waktu pagi dan sebelum tidur). Aku lihat Pakcik sudah kembali tersenyum dan mula ketawa apabila ia begitu khusyuk mendengar cerita. Aku semakin membongkar rahsianya apabila ia memuji aku dan membandingkan dengan anaknya.

“Kalaulah Pakcik ada cucu macam anak kan bagus !”

“Kenapa Pakcik cakap macam itu, mana anak-anak Pakcik ? Soal aku. Baik punya soalan.

“Pakcik ada 5 orang anak, yang sulung anak lelaki umur dia 42 tahun dan tiga adik-adiknya perempuan. Manakala yang bongsu anak lelaki pakcik umur dia 25 tahun. Semua dah kerja, dah kahwin dan masing-masing dah ada anak.” Beritahu Pakcik itu sambil melihat mukanya kembali berkerut seperti di awal pertemuan tadi.

Aku mendengar dengan penuh teliti dan akhirnya aku tahu apa masalah yang dihadapi oleh ia. Sebenarnya Pakcik Ali (Bukan nama sebenar) tinggal seorang diri sejak 3 tahun lalu tanpa seorang pun anaknya pulang ke kampung untuk menjenguknya apatah lagi menyambut Aidilfitri bersamanya. Kisahnya bermula pada tahun 1997 apabila anak perempuan keduanya pulang cuti sekolah akhir tahun bersama dengan suami dan anak-anaknya yang berusia lingkungan 2 dan 4 tahun. Selain itu kesemua anak, menantu dan cucunya yang lain juga pulang ke kampung. Sepanjang percutian itu ternyata tragedi hitam telah berlaku kepadanya apabila pada satu hari cucu perempuannya telah mengadu sakit di bahagian sulit kepada ibunya. Tanpa menyiasat terlebih dahulu si ibu terus membuat laporan polis dengan aduan anaknya telah dicabul oleh datuk iaitu Pakcik Ali. Ia bagaikan dipanah petir apabila anak perempuannya sanggup memfitnahnya mencabul kehormatan cucunya sendiri dan anak-anaknya juga menuduhnya dengan kata-kata yang cukup menghiris. Kejadian ini bukan sahaja telah memalukannya, bahkan telah menyebabkan ia ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan polis. Walau bagaimanapun laporan itu telah ditarik balik oleh anak perempuannya kerana hal sebenar hanya diketahui apabila cucunya mengaku setelah didesak berulang kali dan mengatakan sebenarnya si bapa (menantunya sendiri) yang telah mencabul kehormatan cucu kesayangannya.

Akibat perasaan yang malu, anak perempuannya telah menghilangkan diri bersama suami dan dua anaknya tanpa dikesan sehinggalah sekarang dan yang menyedihkannya apabila anak-anaknya yang lain mula menjauhkan diri kerana desakan menantu-menantunya yang malu untuk balik ke kampung. Walaupun hakikat ia tidak bersalah, kenapa anak-anaknya yang lain malu untuk pulang ke kampung ? Itulah yang menyebabkan ia bersedih dan telah menitiskan air mata. Nasib baiklah ia masih mempunyai isteri yang memahami. Yang bermain di fikiran aku bermacam-macam persoalan timbul. Kenapa Pakcik Ali tidak membuat laporan polis dengan menceritakan hal sebenar ? Kenapa anak-anaknya tidak memohon maaf kerana telah menuduhnya dengan melulu ? Kenapa anak perempuannya masih lagi bersama suami sedangkan si anak telah mengaku yang bapa telah mencabulnya ? Kenapa anak perempuannya tidak menyalahkan suami kerana penyebab masalah ini ? Kenapa, kenapa, kenapa dan kenapa sesuatu yang bodoh ini berlaku kepada Pakcik Ali ?

Aku telah pulang kerumah dengan perasaan hiba kerana peristiwa sedih yang berlaku kepada Pakcik Ali dan burger kesayangan ku. Aku sedih…… aku sedih…… sedih untuk segala-galanya. Adakah ini cerita rekaan lelaki itu untuk mendapatkan burger aku atau cerita betul dan kepastian yang aku pun tidak pasti apabila bonda tercinta sendiri mengakui peristiwa ini memang berlaku dan Pakcik Ali masih lagi dianggap oleh sebahagian penduduk kampung sebagai datuk yang telah mencabul kehormatan cucunya. Pertemuan aku dengan Pakcik Ali telah berlalu hampir 11 tahun dan adakah ia masih lagi hidup atau adakah ia masih mengunjungi bus stop bagi mengambil angin malam yang sepoi-sepoi bahasa dan mengenang kisahnya. Pengajaran yang aku perolehi setiap tahun apabila teringat tibanya tarikh 08 Mac adalah membuat cerita adalah mudah, tetapi membetulkan cerita adalah susah. Sebab itulah timbul peribahasa terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Secara jujurnya pada aku, adalah tidak adil kerana yang berkata-kata adalah anak menantu dan yang menerima padah adalah si ayah (Pakcik Ali). Sebenarnya aku ingin berkongsi cerita ini setiap tahun, tetapi kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan atau menjadi fitnah aku terpaksa berdiam diri seperti mana Pakcik Ali berdiam diri kepada masyarakat demi menjaga maruah anak, menantu dan cucunya. Ternyata selepas 11 tahun aku mempunyai kekuatan untuk berkata-kata. Apa yang pasti aku harus berhati-hati pada masa hadapan agar peristiwa ini tidak hadir dalam hidup aku. Jika tidak terpaksalah aku mencari budak muda yang membeli burger dua bijik agar aku dapat mengepownya nanti. Adakah ia masih mengingati aku seperti mana aku mengingatinya. Inilah masalah sosial yang sering berlaku dalam masyarakat kita dan apakah peranan kita untuk agama, bangsa dan Negara. Satu-satunya jawapan adalah terletak pada Tanyalah Dia ?

( Cerita ini adalah kisah benar yang berlaku pada penulis, Cuma nama Pakcik telah diubah demi menjaga maruahnya.)

0 comments:

Post a Comment

Ini Pasal Dia © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute